Monday 6 February 2012

Model-model Program JQAF

Enam (6) model telah dikenalpasti untuk dilaksanakan dalam program JQAF; iaitu 5 model pengajaran dan 1 model kokurikulum.

Model-model pengajaran adalah seperti :

1. Model Pemulihan Jawi

Model Pemulihan Jawi diajar oleh guru khas pemulihan jawi (JQAF) dalam waktu yang sama dengan kelas jawi biasa di semua sekolah dengan menggunakan modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran. Semua sekolah hendaklah menubuhkan Kelab Seni Tulisan Jawi dan menjalankan aktiviti pengukuhan di peringkat sekolah dengan menyediakan bahan-bahan bacaan tambahan yang bersesuaian serta mempertingkatkan penggunaan kemudahan ICT sedia ada.

Melalui model ini, para pelajar yang tidak mencapai tahap sepatutnya dalam kelas biasa akan dipisahkan untuk menjalani pemulihan secara klinikal oleh guru-guru JQAF. Apabila mereka sudah dapat menguasai kemahiran-kemahiran tertentu, mereka akan diserapkan semula ke dalam kelas biasa. Sekiranya semua pelajar dalam sesuatu kelas telah mencapai tahap yang memuaskan, maka guru JQAF hendaklah memulakan aktiviti pengayaan Jawi. Para pelajar dipilih dalam bilangan yang kecil untuk tujuan tersebut. Begitulah seterusnya sehingga para pelajar menguasai kemahiran membaca dan menulis Jawi dengan cemerlang dan berkesan.

2. Model Enam (6) Bulan Khatam al-Quran

Model 6 Bulan Khatam al-Quran dilaksanakan mengikut modul yang telah ditetapkan dengan menggunakan  peruntukan waktu PI sedia ada. Model ini akan menggunakan pendekatan talaqqi dan musyafahah. Murid yang belum menguasai bacaan al-Quran dibimbing dengan menggunakan kaedah IQRA’, sementara yang telah menguasainya diteruskan menggunakan model khatam al-Quran (menyambung bacaan al-Quran tanpa perlu menunggu rakan-rakan dalam kumpulannya yang sedang membaca IQRA).

3. Model Tasmik

Model Tasmik pula dilaksanakan di luar waktu persekolahan normal mengikut kesesuaian dan keupayaan murid serta dengan persetujuan ibu bapa mereka dan kesediaan guru pembimbing yang terdiri daripada guru j-QAF, GPI, guru-guru mata pelajaran lain yang berkemampuan, atau pembimbing luar yang sesuai. Guru pembimbing tersebut hendaklah dilantik secara rasmi oleh pihak sekolah.

4. Model Bahasa Arab

Bahasa Arab yang sedang dilaksanakan pada masa ini di sekolah-sekolah kebangsaan akan diperluaskan pelaksanaannya di semua sekolah. Status mata pelajaran ini adalah sebagai mata pelajaran pilihan. Walau bagaimanapun murid diwajibkan memilih bahasa Arab sekiranya tidak mengambil mata pelajaran Bahasa Cina dan Tamil. Peruntukan waktu adalah 60 minit seminggu dan diajar oleh guru Bahasa Arab yang dilantik khusus.

5. Model Kem Bestari Solat

Model Kem Bestari Solat (KBS) dilaksanakan selama dua hari tanpa bermalam dengan kekerapan empat (4) kali setahun. Ia dikategorikan sebagai aktiviti kokurikulum PI dan dimasukkan dalam takwim sekolah. Pelaksanaannya juga memerlukan kerjasama semua pihak terutama penglibatan PIBG, guru-guru sedia ada di sekolah dan tidak semata-mata diserahkan  kepada guru pendidikan Islam.

Manakala model kokurikulum pula terbahagi kepada:

1. Kelab Seni Tulisan Jawi;
2. Kem Bina Juara;
3. Majlis Khatam al-Quran;
4. Kem Literasi al-Quran; dan
5. Pertandingan Bahasa Arab.

No comments:

Post a Comment